Model ASSURE



2.2.1    Model ASSURE 

Model ASSURE merupakan model reka bentuk berasaskan bilik darjah. Ia dipelopori oleh Heinich et. Al (Wah Wan Ali et al.2008). Ia mendapatkan namanya hasil akronim huruf awal A.S.S.U.R.E.

Ia melibatkan enam langkah, iaitu analisis ciri-ciri murid, nyatakan objektif pengajaran dan pembelajaran, pilih strategi, teknologi dan media bahan yang sesuai, gunakan  teknologi, bahan dan media pengajaran dan pembelajaran tersebut, libatkan murid dalam proses pembelajaran,dan nilai serta semak semula keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

A

Analyse
S

State
S

Select
U

Utilise
R

Require
E

Evaluate


2.2.1.1  Analyse learner (Analisis murid)

Sebelum memulakan sesuatu pengajaran dan pembelajaran, guru perlu mengetahui ciri-ciri umum murid seperti  umur, darjah/tingkatan, latarbelakang murid , tahap sosio ekonomi dan lain-lain lagi. Melalui rekod murid dan berinteraksi secara langsung dengan murid, guru boleh memperoleh maklumat yang lengkap mengenai seseorang murid. Melalui cara-cara ini, guru dapat menggunakan teknologi yang bersesuaian dan menyediakan bahan dan media pengajaran berdasarkan pengalaman lepas murid.

Di luar negara seperti Amerika Syarikat, guru-guru wajib mengetahui keperluan setiap orang murid seperti tahap penguasaan murid, pengetahuan lepas murid supaya mereka dapat merancang reka bentuk pengajaran yang bersesuaian dengan tahap penguasaan  murid yang terdiri daripada pelbagai jenis gaya pembelajaran dan akhirnya tercapai objektif pengajaran yang ditetapkan.  Pendek kata guru perlu mengetahui sejauh mana pengetahuan lepas telah  dikuasai oleh murid dan mengaitkan dengan pengajaran yang akan disampaikan nanti. Guru boleh menjalankan ujian pra ke atas pengetahuan lepas murid.

Setiap murid mempunyai gaya pembelajaran tersendiri. Ada murid yang suka belajar secara bersendirian, ada yang suka berbincang dengan kawan atau secara berkumpulan, ada yang suka belajar di kawasan yang sunyi dan tenang, ada yang suka belajar di kawasan terang, ada yang suka belajar dengan adanya  iringan muzik, ada yang suka belajar melalui pemerhatian dan membuat kajian dan sebagainya.

Gaya pembelajaran merujuk kepada trait psikologi seseorang murid memproses, mentafsir, mengumpul maklumat terhadap pengetahuan dan kemahiran  dan seterusnya  bertindak balas dengan persekitarannya. Ia  merujuk kepada cara yang paling berkesan seseorang murid menguasai pembelajaran. Mengikut model Dunn&Dunn (Wah Wan Ali et al. 2008) , stail pembelajaran merujuk kepada bagaimana seseorang murid memproses maklumat dan mengekalkan maklumat baru melalui lima ransangan iaitu persekitaran, emosi, sosial, fisiologi dan psikologi. Mengikut model Honey & Mumford (Wah Wan Ali et al. 2008)., stail pembelajaran ialah penerangan sikap dan tingkahlaku yang diamalkan oleh seseorang murid terhadap cara belajar masing-masing.
Pengetahuan tentang gaya pembelajran murid membolehkan guru mengendalikan kelas dengan lebih berkesan dan berjaya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.




2.2.1.2  State objectives (Nyatakan objektif pengajaran dan pembelajaran)

Pembelajaran membawa perubahan dari segi penguasaan pengetahuan, kemahiran dan tingkah laku. Seperkara itu, apa yang dipelajari itu perlu mempunyai objektif yang jelas dan konkrit  supaya objektif pembelajaran dapat diukur  pada  akhir proses  pengajaran dan pembelajaran. Contohnya, ‘pada akhir pengajaran dan pembelajaran, murid dapat menyenaraikan lima contoh haiwan  bertulang belakang.’

Penyataan objektif pembelajaran perlu eksplisit dan jelas. Ia dapat membantu guru menilai sejauh manakah  objektif pembelajaran atau  kemahiran yang telah ditentukan dapat dikuasai oleh murid. Pengubahsuaian ke atas kaedah atau strategi boleh dilakukan sekiranya objektif tidak  tercapai.

Penyataan objektif dapat membantu guru mengukur perubahan tingkah-laku ke atas murid dan murid  patut mengetahui apakah harapan guru terhadap mereka. Penggunaan istilah yang menunjukkan perubahan tingkah laku adalah penting. Antaranya  perkataan yang sesuai ialah melabelkan, membanding bezakan, menyenaraikan, menyebut, mengkategorikan, merumus, menyelesaikan masalah.

Penyataan objektif membantu guru juga dalam pemilihan kaedah, bahan dan media pengajaran serta teknologi yang akan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Apakah tahap pencapaian minimum yang boleh digunakan untuk mengukur perubahan tingkah laku seseorang murid?

Tahap pencapaian minimum ini merujuk kepada darjat ketepatan,  kuantiti dan kualiti  serta tempoh masa yang ditetapkan.  Penulisan tahap pencapaian boleh ditulis dalam bentuk kuantitatif dan kualitatif. Penulisan bentuk kuantitatif boleh dijelaskan dengan   penggunaan angka, peratusan dan skor mentah. Contohnya, di akhir pengajaran dan pembelajaran, murid boleh ‘menjawab lapan daripada sepuluh soalan objektif’. Penulisan kualitatif pula sukar diukur kerana kriteria susah ditentukan.

Objektif pengajaran dan pembelajaran dapat dikategorikan kepada tiga domain yang utama iaitu:
·         domain kognitif (keupayaan berfikir)
·         domain efektif (sikap dan perasaan)
·         domain psikomotor (kemahiran fizikal) dan domain interpersonal

Aktiviti





Cuba  analisis  objektif  pengajaran dan pembelajaran. Kenal pasti lebih banyak perkataan  ekplisit  yang boleh digunakan untuk mengukur perubahan tingkah laku murid selepas proses pengajaran –pembelajaran dilaksanakan.







2.2.1.3  Select technology, strategies, media and materials  (Pilih teknologi, kaedah  media dan  bahan yang sesuai)

Terdapat empat langkah dalam proses ini iaitu:
·         menentukan jenis teknologi yang sesuai digunakan
·         memilih kaedah yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran
·         memilih  format media yang sesuai ke atas kaedah yang dipilih
·         memilih, mengubahsuai dan mereka bentuk media yang dipilih


2.2.1.3.1  Menentukan jenis teknologi yang sesuai

Pemilihan penggunaan teknologi seharusnya berdasarkan kepada ciri-ciri murid dan gaya pembelajaran murid. Pada masa yang sama juga, guru perlu memikirkan  kemudahcapaian bahan/resos yang hendak digunakan. Kriteria kefleksibelan teknologi perlu dipertimbangkan berdasarkan aktiviti yang akan dijalankan. Penggunan teknologi komputer sesuai diaplikasikan untuk aktiviti projek, pembentangan, simulasi dan sebagainya.

2.2.1.3.2  Memilih kaedah

Sekiranya ditanya, apakah kaedah yang paling sesuai digunakan dalam satu proses pengajaran dan pembelajaran guru? Jawapannya ialah lebih daripada satu kaedah. Tiada satu kaedah khas yang digunakan untuk setiap peringkat perkembangan pengajaran. Kaedah simulasi, lakonan boleh digunakan semasa set induksi. Kaedah sumbangsaran boleh digunakan semasa guru mengemukakan  satu-satu soalan dan meminta murid menjawab. Setiap saranan jawapan akan diterima tanpa bantahan daripada guru. Kaedah latihtubi boleh digunakan untuk memperkukuhkan sesuatu kemahiran baru yang telah disampaikan oleh guru. Pemilihan kaedah hendaklah diasaskan kepada objektif pengajaran,  pengetahuan sedia ada murid, ciri-ciri murid dan  gaya pembelajaran murid.

2.2.1.3.3  Memilih  format  media dan bahan sumber

Format media merujuk kepada bagaimana bentuk maklumat  dipaparkan. Contoh format media seperti gambar, slaid, peta, lukisan, transperansi, bahan tiga dimensi seperti papet, wayang kulit, boneka, akuarium,  klip video, audio, pakej persembahan multimedia dan lain-lain lagi.

Pemilihan format media hendaklah berdasarkan domain objektif, kumpulan murid, pengalaman murid, dan bentuk maklum balas yang akan dihasilkan.

Bahan sumber pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada isi pelajaran yang menjadi fokus pembelajaran. Bahan sumber ini boleh dalam bentuk petikan, teks,artikel dan sebagainya.

Kriteria pemilihan bahan sumber boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:
·               menggunakan bahan sumber yang tersedia ada
·               mengubah suai bahan sumber yang ada
·               mereka bentuk bahan sumber yang baru


2.2.1.3.4  Memilih, mengubahsuai dan mereka bentuk media yang dipilih

Sekiranya anda menghadapi masalah kekurangan bahan media ataupun media yang
dipilih kurang sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran, anda boleh mereka
bentuk semula media yang dipilih atau menghasilkan media baru.

Terdapat tujuh perkara yang perlu diambil kira, iaitu:
·         objektif
·         kumpulan sasaran murid
·         masa
·         kos
·         fasiliti
·         kemahiran/kepakaran  teknikal
·         peralatan yang diperlukan


Pemilihan bahan sumber yang tersedia ada perlu mengikut beberapa kriteria  seperti
di bawah.

·         Menepati kurikulum
·         Maklumat tepat, boleh dipercayai dan terkini
·         Bahasa yang jelas dan mudah difahami
·         Menarik minat dan mencetuskan motivasi murid
·         Menarik penglibatah murid
·         Mempunyai kualiti
·         Ada bukti tentang keberkesanan penggunaan
·         Bebas daripada bias
·         Mempunyai panduan penggunaan/ manual penggunaan

Perbincangan






Senaraikan tempat/agensi-agensi yang boleh membuat rujukan ke atas bahan sumber yang tersedia ada..






2.2.1.4 Utilize technology, media and materials  (Gunakan teknologi, bahan dan media pengajaran dan pembelajaran tersebut)

Penggunaan bahan sumber perlu tepat pada tempat  dan masanya. Sebelum penggunaan, pastikan anda semak langkah-langkah seperti di bawah:

·         semak bahan sumber sebelum digunakan di dalam kelas.
·         sediakan bahan untuk penggunaan di dalam kelas
·         sediakan persekitaran untuk membolehkan pengguanan yang optimum
·         sediakan murid dari segi emosi dan fizikal untuk mendapatkan manfaat daripada  bahan sumber
·         sediakan pengalaman  pembelajaran untuk murid

 2.2.1.5  Require learner participation (Libatkan murid dalam proses pembelajaran)

Guru boleh merancangkan sesi pengajaran-pembelajaran yang melibatkan murid melalui kaedah berpusatkan murid. Contoh aktiviti berpusatkan murid seperti menyediakan projek. Ini akan dapat memotivasikan murid dan membolehkan guru memgukur perubahan tingkah-laku murid.


2.2.1.6  Evaluate and revise (Nilai serta semak semula keberkesanan pengajaran dan pembelajaran)

Penilaian semasa dan selepas pengajaran dan pembelajaran membolehkan guru membuat penambahbaikan dan pembetulan serta menjalankan tindakan susulan yang sesuai melalui amalan refleksi.

Melalui refleksi, guru perlu melihat semula sejauh manakah perancangan, pelaksanaan pengajaran, objektif pengajaran dan perubahan tingkah laku  murid tercapai? Melalui  proses ini guru dapat menyediakan pembelajaran yang lebih berkesan dan bermutu pada masa akan datang.






  http://www.instructionaldesign.org/ 
2. http://www.instructionaldesign.org/models/index.html  
3. http://www.instructionaldesign.org/models/assure.htm









No comments:

Post a Comment